Khamis, 19 Ogos 2010

Batal ambil alih tanah Sekolah " Gandhi " !

IPOH 18 Ogos - Kementerian Pelajaran membatalkan proses pengambilalihan tanah milik Persatuan India Dinding di Manjung untuk membangunkan sebuah sekolah kebangsaan.

Keputusan tersebut dibuat selepas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bagi membincangkan isu pengambilan tanah itu yang mendapat bantahan masyarakat India.

Menurut Zambry, dalam perbualan itu, beliau memberitahu Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengenai latar belakang tanah tersebut yang dibeli oleh masyarakat India sebelum merdeka daripada wang sumbangan pekerja estet.

"Masyarakat India tidak setuju tanah ini diambil oleh kerajaan kerana tanah tersebut menjadi tanah warisan dan simbol kepada mereka.

"Selepas mendengar penerangan itu, Timbalan Perdana Menteri setuju supaya proses pengambilan tanah itu tidak dibuat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.

Kementerian Pelajaran dilaporkan sudah mewartakan tanah seluas dua hektar itu untuk diambil alih bagi membesarkan Sekolah Kebangsaan Simpang Empat atau lebih dikenali sebagai 'Sekolah Gandhi' yang didirikan di atas tanah itu.

Namun, usaha pengambilalihan tanah itu mendapat tentangan masyarakat India kerana tanah tersebut mempunyai nilai sejarah bagi mereka kerana ia dibeli hasil sumbangan derma pekerja lebih 30 ladang estet yang kemudian diberikan kepada Persatuan India Dinding.

Kesempatan itu diambil oleh pembangkang untuk menghasut masyarakat India membenci kerajaan termasuk mahu membuat perhimpunan di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung pada 25 Ogos ini dan menuduh kerajaan melakukan penghapusan etnik.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kerajaan negeri telah meminta Pengarah Tanah dan Galian Perak, Datuk Abu Zar Omar untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi membatalkan pewartaan tanah tersebut.

"Pada dasarnya, saya anggap masalah ini sudah selesai. Kerajaan negeri akan cadangkan kepada Kementerian Pelajaran untuk mengenal pasti tapak baru bagi membina sekolah kebangsaan di kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi itu," ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada MIC yang membawa masalah tersebut ke pengetahuannya.

Old Sitiawan..